RSS


Adab/Tanggungjawab seorang Anak terhadap Ibubapa

Ibubapa mempunyai kedudukan yang tinggi lagi mulia di sisi Allah swt.Merekalah yang menjadi sebab lahirnya kita di dunia. Mereka lah yang memelihara, mengasuh serta mendidik anak-anak itu dengan sempurna, termasuklah makan minum, pakaian, lindungan dari segi keselamatan serta kasih sayang. Segala pengorbanan kedua ibua bapa terutama ibunya tidak ternilai besarnya dan hampir mustahil untuk kita balas. Namun ini tidak bererti kita terus meninggalkan mereka begitu sahaja.

Di dalam hadis-hadis diriwayatkan beberapa dosa besar yang dinyatakan oleh Nabi saw mengikut tahapnya:

1. Mempersekutukan Allah
2. Derhaka kepada dua ibubapa.
3. Cakap bohong atau persaksian bohong

Jika diperhatikan, hari ini ramai anak-anak yang mengingkari ibu bapa malah ada yang telah menjadikan ibu bapa sebagai hamba abdi yang bererti ibu bapa patut menurut kata-kata mereka. memetik kata-kata Dr. Abu Hassan Din, ini merupakan tanda-tanda akhir zaman. Sanggupkah kita berkelakuan sebegini rupa pada mereka yang banyak berjasa pada kita selama ini? Nauzubillah, moga kita dijauhkan. Lantaran itu, ayuh kita telusuri antara adab/tanggungjawab seorang anak terhadap ibubapanya:

1. Sentiasa taat dan patuh terhadap suruhan /ajaran ibubapa selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat Islam. Sesuai dengan perintah Allah swt supaya pertama-tamanya beribadat kepadaNya dan selepas itu taat kepada kedua ibubapa.

2. Hendaklah bercakap dengan lemah lembut dan suara yang rendah ketika bertutur dengan ibubapa. Jangan sekali-kali membantah dan mengherdik mereka dengan apa jua perkataan kerana perbuatan itu ditegah Allah SWT .

3. Sentiasa hormat dan kasih sayang kepada kedua ibubapa.

4. Jangan sekali-kali menderhaka kepada mereka, kerana derhaka kepada kedua ibubapa adalah suatu dosa besar. Anak yang tidak mendapat keredhaan ibubapnya akan tidak mendapat keredhaan Allah dan ibadatnya tidak diterima Allah swt.

5. Sentiasalah mendoakan dan meminta keampunan untuk mereka, sama ada mereka masih hidup atau setelah mereka meninggal dunia dengan berdoa'

" Ya Allah ampunilah dosaku dan dosa kedua ibubapaku, rahmatilah kedua-duanya sebagaimana mereka memeliharaku pada waktu kecil"

6. Hendaklah memanggil ibubapa dengan panggilan yang disenangi mereka.

7. Gembirakanlah hati ibubapa dengan menolong kerja rumah di samping melayani dengan penuh kasih sayang (jika tinggal bersama) atau dengan memberikan apa juga bantuan mengikut keperluan yang dihadapi semasa menghadapi saki baki hidupnya.

8. Ucapkan salam dan pohon kemaafan kepada ibu bapa ketika bertemu dan berpisah dengan mereka, kerana mungkin salah seorang darinya (anak atau ibu dan bapa) akan meninggalkan dunia yang fana ini tanpa dijangka.

9. Muliakan sahabat-sahabat ibubapa, hubungkan tali silaturrahim dengan keluarga dan sahabt-sahabat mereka.

10. Apabila mereka sudah lanjut umur (tua) dan uzur, hendaklah dipenuhi segala keperluan mereka. Selalu menziarahi mereka kerana dengan ini boleh menghibur dan mentetenteramkannya, sebagai melahirkan kesyukuran kepada Allah terhadap jasa bakti yang telah dapat dinikmati.

11. Apabila ibubapa meninggal dunia, anak hendaklah memperbanyakkan berdoa untuk kesejahteraan dan rahmat dari Allah, banyakkan bersedekah dan membacakan ayat-suci Al Quran untuk dihadiahkan pahalanya kepada mereka. Semua kebajikan yang dilakukan akan diterima berterusan pahalanya untuk mereka di sisi Allah swt. Inilah satu kaedah yang berterusaa yang menghubungkan antara anak dan ibubapa walaupun jasad mereka tidak ada lagi.




Pangkal ilmu ialah mendengar sebaik-baiknya, kemudian memahamkannya dan sesudah itu mengingatkannya. Akhir sekali diamal dan disebarkan ilmu itu untuk dimanfaatkan. - SUFYAN UYAYNAH

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...