RSS

ALLAH MAHA MENDENGAR

Hampir sebulan berada di 'bumi kenyalang' setelah menghabiskan cuti semester di kampung halaman. Dari pagi membawa ke petang aku sendirian di bilik. Kawan-kawan yang semuanya menyertai ekspidisi mendaki Gunung Santubong. Hatiku tiba-tiba direnggut pilu. Rinduku pada kelas dan kuliah agama mula mencengkam hati. Bukan tiada majlis ta'lim di masjid tempat pengajianku, namun kerana tiada teman aku membatalkan niat ke masjid. 
Terimbau kenangan manis bersama sahabat-sahabat sefikrah di matriks dahulu. Saat paling manis dalam hidupku. Punya teman yang saling berpesan kepada kebaikan. Tak semena-mena air jernih mengalir sayu. Hanya pada Allah tempat aku mengadu. Hatiku sedikit tenang setelah semuanya diluah. Usai solat asar aku meneruskan aktiviti harian. Seorang senior bertandang ke bilikku. Diluar jangkaanku, Allah mengabulkan doa yang baru aku panjatkan. Aku diajak menyertai usrah di masjid. Alhamdulillah rohaniku sedikit terisi.

Majlis dimulakan dengan tazkirah ringkas mengenai senyum. "Senyuman mampu mempengaruhi orang lain," itu kata-kata kakak usrahku. Sedikit demi sedikit rasa resah gelisahku semakin pudar. Senyuman umpama cuaca dunia. Cuaca cerah membolehkan manusia bergerak bebas, penuh ceria. Begitu juga sebaliknya. Selang beberapa minit kami memasuki tajuk utama usrah, SYUKUR.

ERTI : Berterima kasih kepada Allah. Sentiasa berasa cukup dengan kurniaan-Nya

KEUTAMAAN : 
1) Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat." (surah Ibrahim, ayat 7)
2) Allah tidak akan menyiksamu, jika kamu bersyukur dan beriman. Dan Allah Maha Mensyukuri (memberi pahala terhadap amal hamba-Nya, memaafkan kesalahannya, menambah nikmat-Nya), Maha Mengetahui.

CARA BERSYUKUR :
1) Mengucapkan 'alhamdulillah' atas setiap kurniaan Allah.
2) Bersolat. Dalam solat lima waktu kita sentiasa mengucapkan syukur kepada Allah sebanyak 17kali sehari semalam paling kurang. Ini dapat dilihat di dalam surah al-Fatihah ayat 2, : Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam.
3) Berkongsi nikmat yang diperolehi dengan keluarga, rakan dan masyarakat.
4) Menggunakan nikmat dengan cara yang betul.


Pangkal ilmu ialah mendengar sebaik-baiknya, kemudian memahamkannya dan sesudah itu mengingatkannya. Akhir sekali diamal dan disebarkan ilmu itu untuk dimanfaatkan. - SUFYAN UYAYNAH

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

KEGUGURAN vs SOLAT

 Jika diselidiki sebetulnya dalam era penuh globalisasi kini masyarakat Islam masih cetek pengetahuan agamanya. Adakah darah yang keluar sewaktu keguguran adalah darah nifas? Perlukah menunaikan solat ke atas janin tersebut? Pasti ada dalam kalangan kita yang berhadapan dengan soalan sebegini. Namun apakah jawapan yag tepat dan senang untuk difahami rata-rata masyarakat?

Di sini terdapat dua jawapan berbeza bergantung kepada situasi yang dihadapi. Situasi pertama : seandainya janin gugur dalam keadaan telah sempurna kejadiaannya ( ada kepala, kaki, tangan atau lain-lain ), maka darah yang mengiringi janin tersebut merupakan darah nifas. Mengikut hukum fiqh seorang wanita yang didatangi nifas diharamkan ke atasnya solat, puasa, bersetubuh dan tawaf.

Situasi kedua : sekiranya janin tersebut belum cukup sifatnya, yakni hanya membentuk seketul daging, maka darah yang keluar dipanggil darah rosak. Hukumnya jatuh kepada istihadhah yang mana wajib baginya bersolat, berpuasa dan sebagainya. Namun hendaklah dia berwuduk setiap kali ingin mengerjakan solat.

Bagi soalan kedua ( menunaikan solat ke atas janin ) juga terdapat dua jawapan berbeza. Janin yang gugur setelah ditiupkan roh ( 120 hari ), hendaklah dimandikan, dikafankan, disolatkan dan diberikan nama. Malah boleh juga dilakukan akikah untuknya. Sebaliknya jika janin gugur sebelum ditiupkan roh cukup sekadar dikuburkan di tanah perkuburan Islam tanpa perlu dimandikan dan disolatkan.

INFO INI DIPETIK DARI NOVEL DENYUT KASIH MEDIK KARYA DR. FARHAN HADI. Moga bermanfaat buat semua.


Pangkal ilmu ialah mendengar sebaik-baiknya, kemudian memahamkannya dan sesudah itu mengingatkannya. Akhir sekali diamal dan disebarkan ilmu itu untuk dimanfaatkan. - SUFYAN UYAYNAH

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

DUHAI MUSLIMAH

 Indah pesonamu duhai wanita,
Dirimu ibarat bunga di taman,
Dikelilingi kumbang durjana,
Awasi dirimu umpama mawar berduri.

Gerak langkahmu bisa menggegar dunia,
Bicaramu merubah sebuah pendirian,
Pandanganmu mampu melemahkan,
Bangkitlah wahai kaumku.

Dirimu menjadi penyebab
Sang adam semakin menggila,
Peribadimu memancar sinar buat adam,
Buruk peribadimu kelamlah sinar itu.

Wahai wanita hiasan duniawi,
Balutilah dirimu dengan balutan iman,
Pagari nafsumu dengan janji Ilahi,
Sirami gersang hatimu dengan Qiamullail,
Agar lahir kembali pejuang Islam
Dari rahim seorang insan
Bergelar MUJAHIDAH SOLEHAH...

Pangkal ilmu ialah mendengar sebaik-baiknya, kemudian memahamkannya dan sesudah itu mengingatkannya. Akhir sekali diamal dan disebarkan ilmu itu untuk dimanfaatkan. - SUFYAN UYAYNAH

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

BERMULANYA SEM BARU..

 Hampir satu bulan bersarang kat rumah, sekarang perlu merantau demi ilmu. Bila dah lama terperap perasaan malas mula timbul. Walaupun dengan kesedaran yang kuat bahawa malas bertentangan dengan Islam namun bukan mudah untuk dibuang. Menyingkap kembali firman Allah dalam surah an-Nissa ayat 142 yang bermaksud:

Sesungguhnya orang munafik itu hendak menipu Allah, tetapi Allah-lah yang menipu mereka. Apabila mereka berdiri untuk solat mereka lakukan dengan malas. Mereka bermaksud riak (ingin dipuji) di hadapan manusia. Dan mereka tidak mengingat Allah kecuali sedikit sekali.

Jelas sekalli malas itu sifat munafik. lantaran itu hanya dengan ilmu yang cetek dan sedikit rujukan ana ketemu tiga cara mudah dalam mengatasi rasa malas:

1) PERBANYAKKAN DOA. Doa dalam erti kata mudah ialah permohonan hamba kepada Tuhannya. Jika kita tidak pernah atau kurang berdoa bagaimana mungkin Allah mengurniakan nikmat atau apa yang dihajati. Berdoalah agar diri dijauhi dari sifat malas dan segala macam sifat mazmumah yang lainnya. InsyaAllah Allah tidak akan mensia-siakan doa hambaNya.
2) LAWAN SYAITAN DAN NAFSU. Sedar atau tidak rasa malas itu sebenarnya merupakan suntikan jarum halus dari syaitan dan kroni-kroninya. Jika rasa malas itu dilayan maka apa bezanya dengan bersahabat dengan syaitan. Bangkit dan lawanlah syaitan kerana ia tidak mampu bertahan pada insan yang kental iman dan teguh agamanya.

3) CARILAH ILMU. Secara dasarnya ilmu dapat meluaskan minda dan mematangkan fikiran. Orang yang berilmu tidak akan melakukan sesuatu yang melanggari apa yang dipelajarinya. Dalam hal ini ilmu agama amat penting untuk didalami dan dihayati kerana di situ tersimpan seribu satu rahsia yang jarang diselongkari manusia.

Hakikat Islam kini lemah kerana sifat malas yang bermaharajalela di dalam diri umat Islam itu sendiri. Ayuh kaum muslimin kita bangkit dari lena yang panjang, buangkan selimut malas itu. Siapa lagi yang akan mendaulatkan Islam yang semakin gharib (terasing) ini jika bukan kita yang tergolong dalam kalangan ghurabaq..



Pangkal ilmu ialah mendengar sebaik-baiknya, kemudian memahamkannya dan sesudah itu mengingatkannya. Akhir sekali diamal dan disebarkan ilmu itu untuk dimanfaatkan. - SUFYAN UYAYNAH

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

hakikat cinta

Cinta itu laksana pohon di dalam hati. Akarnya adalah ketundukan kepada kekasih yang dicintai, dahannya adalah mengetahuinya, rantingnya adalah ketakutan kepadanya, daun-daunnya adalah malu kepadanya, buahnnya adalah ketaatan kepadanya dan air yang menghidupinya adalah menyebut namanya. Jika di dalam cinta ada satu bahagian yang kosong bererti cinta itu berkurang.

Apabila Allah s.w.t. cinta kepada kita maka seluruh makhluk di langit dan di bumi akan mencintainya bertepatan dengan hadith dari Abu Hurairah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. telah bersabda yang bermaksud:

“Jika Allah s.w.t. mencintai seseorang hamba, maka Jibril berseru, “Sesungguhnya Allah s.w.t. mencintai Fulan, maka cintailah dia!” Maka para penghuni langit mencintainya, kemudian dijadikan orang-orang yang menyambutnya di muka bumi.”
[Riwayat Bukhari dan Muslim]

Dalam Sunan Abu Daud dari hadith Abu Dzar r.a., dia berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Amal yang paling utama ialah mencintai kerana Allah s.w.t. dan membenci kerana Allah s.w.t.”

Imam Ahmad berkata: “Kami diberitahu oleh Isma’il bin Yunus, dari Al-Hassan r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Demi Allah, Allah s.w.t. tidak akan mengazab kekasih-Nya, tetapi Dia telah mengujinya di dunia.”

Bagaimanakah yang dikatakan hakikat cinta itu?

Banyak mengingati pada yang dicintai, membicarakan dan menyebut namanya.

Apabila seseorang itu mencintai sesuatu atau seseorang, maka sudah tentu beliau kan sentiasa mengingatinya di hati atau menyebutnya dengan lidah. Oleh yang demikian, Allah s.w.t. memerintahkan hamba-hamba-Nya agar mengingati-Nya dalam apa keadaan sekalipun sebagaiman yang difirmankan oleh Allah s.w.t.:

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan doa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).” [Al-Anfaal:45]

Tunduk pada perintah orang yang dicintainya dan mendahulukannya daripada kepentingan diri sendiri.

Dalam hal ini, orang yang mencintai itu ada tiga macam:

1. Orang yang mempunyai keinginan tertentu dari orang yang dicintainya.
2. Orang yang berkeinginan terhadap orang yang dicintainya.
3. Orang yang berkeinginan seperti keinginan orang yang dicintainya. Inilah yang merupakan tingkatan zuhud yang paling tinggi kerana dia mampu menghindari setiap keinginan yang bertentangan dengan orang yang dicintainya. Firman Allah s.w.t.:

“Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
[A’li Imran:31]

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Rasul s.a.w. bersabda:

“Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang-orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud daripada dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Pada hal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat). Allah s.w.t. berfirman kepada mereka: Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu? Apakah kamu terlampau berani berbohong kepadaKu? Demi KebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi dalam kalangan mereka sendiri sehingga orang ‘alim (cendikiawan) pun akan menjadi bingung (dengan sebab tekanan fitnah itu)”
[Riwayat At-Tirmidzi]

Ibnu Abbas berkata: Allah memerintahkan kepada orang-orang yang beriman agar tidak meredhai kemungkaran yang berlaku di tengah-tengah mereka. Apabila mereka mengakui kemungkaran itu, maka azab Allah akan menimpa mereka semua, baik yang melakukannya mahupun orang-orang yang baik.

Umar Ibn Abdul Aziz berkata: Bahawa sesungguhnya Allah tidak mengazab orang ramai dengan sebab perbuatan yang dilakukan oleh orang perseorangan. Tetapi kalau maksiat dilakukan terang-terangan sedangkan mereka (orang ramai) tidak mengingatkan, maka keseluruhan kaum itu berhak mendapat seksa.

"Sesungguhnya Allah telah memfardhukan pelbagai perkara wajib, maka janganlah kamu mengabaikannya, dan telah menetapkan had bagi beberapa keharusan, maka janganlah kamu melewatinya, dan juga telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu mencerobihinya, dan juga telah mendiamkan hukum bagi sesuatu perkara, sebagai rahmat kemudahan buat kamu dan bukan kerana terlupa, maka janganlah kamu menyusahkan dirimu dengan mencari hukumannya"( Riwayat Ad-Dar Qutni, ; Ad-Dar Qutni : Sohih, An-Nawawi : Hasan )


Pangkal ilmu ialah mendengar sebaik-baiknya, kemudian memahamkannya dan sesudah itu mengingatkannya. Akhir sekali diamal dan disebarkan ilmu itu untuk dimanfaatkan. - SUFYAN UYAYNAH

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...