RSS

Sesaat ia hadir lagi...


 Saling merindu sudah menjadi lumrah dalam hidup manusia. Namun pada siapa harus rindu itu ditabur. Fikiran Humaira melayang lagi. Dulu rindu sering dikirim buat ayah bonda di desa, namun kini tempat itu sedang dirampas. Tanpa disedari sesiapa Humaira mula merindui si jejaka yang dikenali tanpa sengaja. Perkenalan mereka telah diatur oleh Yang Maha Kuasa. Tidak pernah Humaira bermimpi untuk mengenali si dia apatah lagi memendam rindu nestapa. Perkenalan yang berlaku hanya kerana sebuah buku. Mungkin terasa lucu buat setengah insan namun itulah hakikat.


*********************

"Assalamuailaikum. Maaf saudari, boleh saya pinjam buku tu." Satu suara penuh yakin menutur kata.

"Wa'alikumussalam. Errr, boleh." Dalam terkejut hanya itu yang mampu dilontar Humaira. Buku yang dimaksudkan bertukar tangan.

"InsyaAllah nanti saya pulangkan." Satu anggukan dari Humaira membawa si jejaka berlalu pergi. Dalam keterpanaan Humaira meneruskan perjalanannya yang terhenti gara-gara si jejaka.

Selesai menunaikan solat isya Humaira keluar ke halaman rumah. Menghirup udara segar sebelum meneruskan misi menelaah pelajaran. Peperiksaan SPM hanya tinggal 4 bulan. Suasana malam yang tenang sedikit membantu Humaira dalam menghadam subjek Kimia yang amat digeruni kebanyakan pelajar. 'Killer subject' sudah menjadi nama komersial khusus untuk subjek Kimia. Jarum jam menginjak ke angka 11. Sudah waktunya Humaira merehatkan badan dan minda. Hampir saja matanya terlelap tiba-tiba, 'beeep'. Satu mesej diterima.

"Salam. Saya Dasuki. Saya dapat nombor awak dari Kamal." Mesej singkat yang mampu menimbulkan tanda tanya dibenak Humaira.

"Salam. Dasuki mana ye? Kita kenal ke?" Seingatnya dia tidak pernah mempunyai teman bernama Dasuki.

"Saya yang pinjam buku awak tadi. Betul kata cikgu saya buku tu memang bagus. Bila awak nak saya pulangkan buku tu?"
"Ooo, awak guna la dulu. Tapi kalau boleh saya nak cepat, SPM pun dah nak dekat ni."

"Kalau macam tu minggu depan je saya bagi, kita jumpa kat tempat tadi."

Cinta buta akan membutakan hati, carilah cinta yang celik
"ok." Ringkas perbualannya tapi mencapai maksud. Kehidupan Humaira berjalan seperti biasa. Hari yang dijanjikan tiba jua, buku pun telah diserahkan kepada pemiliknya. Namun kisah mereka masih berpanjangan. Hari-hari berlalu sentiasa diiringi kiriman pesanan ringkas. Dari perkara remeh sehingga membawa ke isu agama. Semua menjadi perbualan dan perbincangan si remaja. Dari hari membawa ke hari, hampir 7 bulan mereka berbalas SMS. Tiba masa masing-masing meneruskan perjuangan, mengambil haluan yang berbeza. Kesibukan menimba ilmu sedikit menghalang Humaira dan Dasuki berhubungan seperti biasa. Jika dinilai rakan sebaya mereka umpama pasangan kekasih, namun mereka menafikan. Mereka berhubung hanya sekadar kawan, itu yang sering dijadikan jawapan.

"Ingat perhubungan lelaki dan perempuan perlu ada batasnya. Cukup berlegar sekitar kerja dakwah kamu, selebih darinya tiada dalam Islam. Hanya akad pernikahan yang membolehkan kamu berhubungan bebas. Satu perkara yang sering menjadi ikutan remaja masa kini, bermesej muslimin-muslimat tanpa ada arah tuju. Kalau kamu terlibat saya mohon hentikan segera." Ustaz Haikal cuba memancing para pejuang agama yang bernaung di bawah Badan Dakwah. Muka-muka di hadapannya menunjukkan pelbagai reaksi. Terkejut, tersenyum dan pelbagai ragam yang tersirat seribu makna.

"Ustaz, macam mana pula kalau mereka saling mengingatkan kepada kebaikan, saling berkongsi ilmu?" Satu persoalan diajukan dari pihak muslimin. Hati Humaira mula gusar.

"Niat tu memang bagus. Tapi caranya kurang betul. Kalau nak tambah ilmu, nak baiki diri kenapa tak rujuk pada yang lagi arif? Dah tak ada ustaz, ustazah yang boleh bantu? Paling tidak cari dari kaum sejenis. Muslimat cuba ambil peringatan dari muslimat, muslimin pun sama. Tak perlu nak songsang arus, yang muslimat pergi tanya muslimin yang muslimin pergi cari muslimat. Satu pesan saya, matlamat tak menghalalkan cara." Kata-kata dari Ustaz Haikal menusuk ke relung hati Humaira. Berhari-hari dia dihantui keresahan. Memikirkan di mana letak keadaannya sekarang. Apa yang lagi parah dia sudah mula merindui Dasuki sehingga terbawa ke alam mimpi.

'Kenapa aku rasa macam ni? Dasuki dah banyak mengubah aku dari yang kurang ambil pusing tentang agama menjadi insan yang sentiasa meletakkan agama di hadapan. Tapi kenapa sekarang perlu timbul rasa yang aku sendiri tidak mengerti.' Monolog sebegini sering menemani Humaira. Bagai si musafir yang hilang arah tuju. Humaira bingung menetapkan sebuah keputusan. Teruskan hidup seperti biasa atau hapuskan Dasuki dari hidupnya. Setelah berminggu diserang nestapa, asyik berendam air mata akhirnya Humaira nekad. 

"Salam. Saya harap mulai saat ni kita tak berhubung lagi. Saya perlukan kembali ketengan dulu. Saya ingin hidup bahagia kembali."  Butang 'send' ditekan. Humaira menarik nafas lega. Walau berat untuk berbuat demikian tapi dia perlu kuat. Dia sedar dirinya mula dicucuk jarum halus dari syaitan. Setelah diterangkan panjang lebar, akhirnya Dasuki akur. Tiada lagi mesej penyeri hari, tiada lagi panggilan mengejutkan dari lena, tiada lagi tazkirah, semuanya telah tamat di situ. Apa yang tinggal hanyalah ukhuwwah fillah yang telah termetrai.

*************************

Siapa sangka realiti tidak seindah yang dibayangkan. Walau terpisah beribu batu namun masih ada rindu yang bersisa di hati Humaira. Bayangan si dia menerpa tanpa dipinta. Setiap nasihat Dasuki masih segar diingatan. Amalan-amalan yang diamanahkan masih Humaira laksanakan. Niatnya hanya satu kini, lillahi taala. Dalam kegusaran hatinya berpuisi sepi;

*Bila rindu kembali menjengah,
Menyusup datang melalui sekeping gambar,
Begitu terasa bibirku bergetar,
Begitu terasa kakiku makin longlai.
Ku lihat pada jari-jemariku,
Menggigil dalam bahang tengah hari,
Ku sentuh pada bibirku,
kering mengelupas,
Ku letakkan tangan pada dadaku,
Degupannya menjadi deras.
Ku lihat wajahku dalam refleksi,
Warnanya pucat membiru,
Tiada kilauan dalam mata,
Tiada cahaya pada wajah.
Hanya kelesuan jelas kelihatan.
Yang lain menggelar rasa ini 'cinta',
Lalu mereka hairan aku menolak 'cinta',
Tapi aku pasti ianya adalah 'petaka' ,
kerana rindu ini rindu yang memusnahkan,
Rindu ini rindu yang mencemarkan,
Kerana rindu ini rindu yang tidak halal untukku,
Kerana rindu ini boleh mengundang dosa.
Dahulu,
Jika rindu yang sama bertandang,
Akulah insan paling bahagia.
Kini,
Jika rindu yang sama bertamu,
Akulah insan paling sengsara.
Aku tak mahukan rasa ini,
Aku tak mahukan rindu ini.
Rindu ini yang dahulu telah melalaikanku dari mengingati-Mu,
Rindu ini yang dahulu menghalangku dari kemanisan beribadat kepada-Mu,
Rindu ini yang dahulu membutakan mataku dari melihat jalan-Mu,
Rindu ini yang dahulu membinasakan cinta suci hamba-Mu.
Rabbi,
Jangan kau benarkan rindu ini menggigitku,
kerna aku takut dihinggapi virus cinta buta.
Rabbi,
Jangan kau biarkan rindu ini menghantuiku,
kerna aku takut pada bayangannya,
Kerna ku tahu jatuh cinta itu,
Hanya bisa pada Tuhan,
Kerna ku tahu nafsu ini,
Sering membawa ke arah kejahatan,
Yang datang dari godaan syaitan.
Rabbi,
Ku mohon,
Jauhkanlah aku dari 'petaka' rindu ini,
Hadirkanlah aku pada cinta-Mu,
Cinta yang kekal dan abadi.

Akhirnya Humaira terlena dalam syahdu tangis setelah membaca doa tidur. Tidurnya malam itu masih seperti malam-malam yang lepas. Masih ada mimpi yang hadir menjengah. Bezanya kali ini raut kedua orang tuanya yang hadir. Suasana yang serba putih membuat dirinya tenang. Tiba-tiba satu suara menerpa gegendang telinganya, "Indah peribadimu dalam balutan jilbab."

Humaira tersedar dari alam mimpi. Baru dua jam dia terlena. Rupanya di alam mimpi tadi masih segar di minda. Dirinya lengkap berjilbab dan bertudung labuh. Dan suara yang menyapanya , dia pasti itu suara Dasuki. Humaira segera bangkit dan menunaikan tahajjud. Soal mimpi tidak difikirkannya. Baginya mimpi yang dialaminya mana mungkin disamakan dengan mimpi para alim ulama. Tapi dia tidak menolak kemungkinan mimpi itu menjadi asbab penghijrahannya satu hari nanti. Di hujung tahajjudnya Humaira mengalirkan air mata dalam sujud yang penuh khusyuk, mengharap pada sebuah ketenangan.

'Ya Allah jangan Engkau biarkan aku dibuai rasa yang memfitnah ini. Cukuplah cinta dan rinduku hanya pada-Mu, pada kekasih-Mu dan pada insan yang menyerahkan sepenuh cintanya pada-Mu.'
 
*dipetik dari iluvislam.com

IBRAH:

1) Rindu dan cinta datangnya dari Allah, maka gunakannya sebaik mungkin. Alirkan ia mengikut saluran yang benar; cinta Allah mengatasi segalanya.

2) Islam tidak melarang pergaulan lelaki dan perempuan bahkan Islam telah menyediakan panduan khusus dalam bab ini. Jauhi ikhtilat, pergaulan mengikut lunas agama itu lagi indah dan diredhai.

3) Jangan terlalu taksub pada mimpi, selaku hamba Allah yang kerdil lagi kekurangan ilmu mimpi mungkin telah 'dikawal' syaitan. Namun tidak salah jika nilai positif dalam mimpi 'diadaptasi' ke alam nyata.

Pangkal ilmu ialah mendengar sebaik-baiknya, kemudian memahamkannya dan sesudah itu mengingatkannya. Akhir sekali diamal dan disebarkan ilmu itu untuk dimanfaatkan. - SUFYAN UYAYNAH

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 buah fikiran:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...