RSS

Si bijak yang Dangkal


Riz merupakan seorang yang cemerlang dalam pelajaran. Keputusannya yang memberangsangkan dalam SPM telah melayakkan dirinya menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi. Bagi masyarakat kampung Riz merupakan contoh teladan buat anak muda.Mana tidaknya kegemilangannya tidak berakhir di sekolah menengah sahaja, kini Riz telah menjadi pelajar terbaik di universitinya. Lebih membanggakan dia telah 'dilamar' oleh Petronas untuk mendapat biasiswa yang menjadi kegilaan golongan siswa. Pujian demi pujian diterima Riz. Bukan sedikit ucap tahniah yang menyapa telinganya, namun jauh di sudut hatinya terbuku sebuah persoalan. Persoalan bertimpa-timpa membuat dirinya semakin tertekan. Akhirnya satu kata putus telah diambil. Kakinya laju melangkah menuju ke satu destinasi yang jarang dikunjungi.

Setiap kali dihimpit masalah di situlah dia berada. Terutama masalah berhubung dengan Islam.Walaupun jelas tertera pada kad pengenalannya perkataan 'Islam' itu tidak bermakna dia benar-benar seorang Islam.Segala beban di benaknya dicurahkan kepada seorang ustaz yang telah dianggap seperti ayahnya sendiri.Namun  kali ini ustaz tidak dapat mengeluarkan Riz dari persoalan yang mengepungnya. Puas sudah pak ustaz menyelongkar kotak memorinya, mencari dalil bagi persoalan Riz. Akhirnya hanya gelengan kepala yang diberikan si ustaz. Riz pulang ke rumah sewanya dengan kepala yang semakin dipenuhi tanda soal. 'Kenapa ustaz tak boleh jawap soalan aku kali ni? Selalu lancar je dia keluarkan dalil.' Riz mula bermonolog. Hari berganti hari, kehidupan Riz mula tunggang-langgang. Akibat tidak tahan menanggung derita dia pulang ke kampung untuk menenangkan fikiran.

Tiada siapa mengetahui kepulangannya ke kampung. Riz tiba di kampung saat azan Subuh berkumandang. Dia lantas menuju ke surau bagi menunai solat berjemaah yang wajib hukumnya bagi kaum Muslimin. Usai solat, terlintas di hatinya untuk membuat sesuatu. Tanpa berfikir panjang Riz melangkah ke bahagian hadapan surau, tepat di bahagian solat Imam. Dengan suara yang cukup untuk didengar para jemaah Riz mula berbicara. "Assalamu'alaikum. Maaf saya mengambil masa saudara sekalian. Saya ada beberapa persoalan yang mungkin ada dalam kalangan saudara mampu merungkainya. Pertama, andainya Allah itu wujud di manakah Dia? Kedua, orang selalu berkata 'sudah takdir', tapi apa itu takdir? Ketiga, Syaitan telah dicipta dari api, adakah akan ia rasai kesakitan bila dimasukkan ke neraka?"

Riz meliarkan matanya memandang ke seluruh ruang surau. Para jemaah memberi pelbagai reaksi. Ada yang menggeleng, ada yang menggaru kepala. Akhirnya mata Riz memandang pada seorang tua sekitar 80-an. Lelaki yang telah mengimamkan solat Subuh sebentar tadi. Lama pandangan mereka bertaut. Akhirnya imam tua itu memanggil Riz. Belum sempat Riz membuka bicara satu tamparan mencium pipinya. Dengan wajah bersahaja imam tua itu berkata, "inilah jawapanku untuk ketiga-tiga soalanmu anak muda."

Riz menggosok-gosok pipi kirinya yang terasa pedih. Suasana surau mulai riuh dengan tindakan imam tua itu. Dengan sedikit tenaga yang tersisa imam tua itu menenangkan keadaan. "Soalanmu tidak dapat dijawap dengan dalil, jika tidak engkau tidak akan menanyakan soalan yang paling bodoh pernah aku dengar. Untuk soalan pertamamu ini jawapannya, tamparanku sebentar tadi pastinya sakit. Bolehkah kau tunjukkan aku sakit itu?"

Riz hanya menggeleng dengan tangan yang masih melekat pada pipi kirinya. "Begitulah halnya dengan Allah. Dia sememangnya wujud, dapat dirasa bagi yang mengenalnya tapi tiada siapa yang bisa melihatnya.Untuk soalan yang kedua, adakah engkau tahu bahawa aku memaggilmu sebentar tadi untuk menghadiahkan sebuah tamparan?"

Soalan kedua dari imam itu turut dijawab dengan sebuah gelengan kecil. "Nah, itu yang dinamakan takdir. Sudah ditakdirkan aku tamparimu kerana soalanmu yang amat kurang cerdasnya. Analagi yang mampu untuk menjawap soalan ketiga juga berada pada tamparanku tadi. Jika kulitku bertemu kulitmu mampu mengasilkan kesakitan, itulah juga yang diamalani syaitan bila dimasukkan kedalam api neraka." 

Sekalian yang hadir mengangguk kefahaman. Mereka memperoleh pengajaran yang cukup bermakna dari sebuah tamparan. Si imam memohon maaf atas tamparan yang hinggap pada pipi mulus Riz. Tamparan yang dilakukannya hanya untuk menjawab persoalan Riz.

*Cerita ini disampaikan oleh seorang akhi dalam sebuah kuliah subuh. Dilakukan sedikit suntingan oleh penulis agar lebih memberi kesan

IBRAH 

1) Tidak semua orang mampu menerima jawapan daripada skema dalil. Sesekali perlukan pendekatan yang lebih menarik.

2) Walau sebijak manapun anda jangan diabaikan ilmu ukhrawi. 

3) Dalam kehidupan sehari-hari banyak yang dilakukan mengguris hati individu, jadi jangan berat mulut untuk memohon maaf.


Pangkal ilmu ialah mendengar sebaik-baiknya, kemudian memahamkannya dan sesudah itu mengingatkannya. Akhir sekali diamal dan disebarkan ilmu itu untuk dimanfaatkan. - SUFYAN UYAYNAH

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 buah fikiran:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...